Bastian Schweinsteiger secara rasminya meninggalkan Manchester United dan menyertai kelab MLS, Chicago Fire. Foto: ESPN

CHICAGO – Bastian Schweinsteiger sah menyertai Kelab Chicago Fire dan bakal beraksi Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.

Chicago Tribune melaporkan bintang tengah Manchester United itu sudah lama menjadi sasaran Chicago Fire.

Bekas pemain antarabangsa Jerman itu dilihat bertemu pengurus Chicago Fire, Veljko Paunovic pada November tahun lalu.

“Kami telah menambah seseorang bintang yang telah menjuarai bola di semua peringkat termasuk tahap tertinggi dalam kerier bola sepak. Kehadiran pemain itu akan menambah nilai kelab kami.

“Sudah tiba masanya kami meningkatkan standard kelab lebih bertaraf antarabangsa,” kata pengurus besar kelab itu, Nelson Rodriguez.

Schweinsteiger disahkan menandatangani kontrak setahun bersama Chicago Fire dengan pendapatan USD $4.5 setahun.

Ia sekaligus menjadikan Schweinsteiger antara 10 pemain berpendapatan tinggi dalam MLS.

Schweinsteiger telah menghabiskan 13 musim bersama Bayern Munich. Legenda Bayern Munich berusia 32 tahun itu menyertai Manchester United tahun 2015 tetapi dihadkan penampilan bersama Red Devils kepada 18 perlawanan sahaja dengan beberapa gol dalam perlawanan penting di bawah kendalian Jose Mourinho.

“Sepanjang karier bola saya, sentiasa melihat peluang untuk memberi impak positif bersama kelab. Penghijrahan saya ke Chicago Fire tidak membawa sebarang perbezaan.

“Sepanjang perbualan bersama Nelson Rodriguez, saya yakin dengan visi dan falsafah kelab itu dan ingin membantu projek pembangunan kelab itu,” kata Schweinsteiger dalam kenyataan kepada Chicago Tribune hari ini.

Schweinsteiger telah menjaringkan 24 gol dalam 121 penampilan sepanjang karier termasuk kemenangan Jerman ke atas Argentina pada aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2014. – MalaysiaGazzette