Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma (kanan) pada Majlis Pelancaran World's First Digital Free Trade Zone (DFTZ) Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Pengasas syarikat e-dagang terbesar China merangkap Pengerusi Eksekut Alibaba Group, Jack Ma terkejut dengan pentabdiran kerajaan negara ini yang begitu cekap dan mesra pelabur serta perniagaan.

Jutawan Internet di dunia itu berkata, apa yang difikirkan mengenai Malaysia sebelum ini di luar jangkaannya.

“Saya hanya mengambil masa 10 minit untuk bersetuju ketika berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia semasa di China pada tahun lalu.

“Jadi sebab itu Malaysia akan menjadi negara pertama memiliki Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di luar dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran DFTZ di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

Najib telah melantik Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan ketika mengadakan lawatan rasmi ke China pada November tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran World's First Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MAC 2017
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran World’s First Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MAC 2017

Sementara itu, Najib yakin penubuhan DFTZ pertama di dunia itu mampu menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 80 peratus.

Beliau berkata, pertumbahan peratus itu hasil daripada jangkaan peningkatan aktiviti peniagaan berasaskan industri kecil dan sederhana (IKS) yang hari ini hanya menyumbangkan kepada 37 peratus.

“Ini kerana barangan yang dikeluarkan oleh IKS yang dapat dijual di dalam negara sebelum ini akan dapat menembusi pasaran global menerusi DFTZ.

“Jadi peranan DFTZ adalah untuk menggalakkan lebih ramai usahawan terlibat dalam sektor e-dagang negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan kawasan seluas 5,000 kaki persegi di Bandar Malaysia dalam usaha menjayakan DFTZ.

Pada masa sama jelasnya, kawasan seluas lapan hektar di KLIA Aeropolis akan turut ditawarkan menerusi inisiatif tersebut dan kerajaan sedia menambah jumlah kawasan pada masa akan datang.

“Kerjasama dengan Alibaba Group ini tidak memanipulasi mana-mana pihak sebaliknya pakatan yang berteraskan persahabatan, kepercayaan dan datang dari hati yang ikhlas.

“Jadi hari ini adalah yang indah buat negara kerana mencipta sejarah kerana DFTZ yang pertama di luar China akan ditubuhkan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette