Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Program Bicara Komuniti TN50 di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 23 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Golongan belia luar bandar disaran mengemukakan idea luar biasa dalam usaha menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sentiasa terbuka mendengar apa jua pandangan golongan itu sekaligus menjadikannyadasar kementerian.

Beliau menjelaskan, TN50 memerlukan idea dari golongan ‘bawah’ untuk dilaksanakan golongan ‘atas’.

“Sebelum ini keputusan dibuat dari atas ke bawah dan kini saya pula mahu dengar bawah ke atas. Kementerian sekarang hendak dengar apa yang belia luar bandar mahukan.

“Jadi saya hendak beri ruang yang seluas-luas apa yang perlu laksanakan dalam TN50. Apa inspirasi golongan belia?

“Hari ini saya datang bukan nak beri ceramah, saya nak duduk dari bawah dan dengar apa yang golongan belia yang mahu dari kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pembukaan selepas program Bicara Komuniti TN50 di sini hari ini.

Program Bicara Komuniti TN50 dianjurkan oleh KKLW melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu dihadiri oleh lebih 200 belia yang terdiri daripada pensyarah, pemimpin pelajar, pertubuhan bukan kerajaan serta usahawan industri kecil dan sederhana.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, persediaan rapi perlu dilakukan biar pun TN50 dilihat masih jauh lagi ke hadapan.

Ujarnya, generasi akan datang yang akan mendapat nikmat berdasarkan apa idea dan cadangan pada hari ini.

“TN50 ada lagi 33 tahun dan persediaan ini bukan untuk saya dan sebagainya.

“Saya tidak boleh hidup 100 tahun tetapi TN50 demi masa depan anak-anak golongan belia nanti.

“Kita mesti ingat pada 2050 nanti, dunia ketika itu semakin mencabar dengan penggunaan teknologi moden.

“Mungkin ketika itu rakyat berjumlah 50 juta dan peluang pekerjaan semakin kurang.

“Rakyat akan berbisnes secara online dan kedai runcit mungkin sudah tiada kerana sudah tidak ada keperluan untuk mengggaji pekerja.

“Bagaimana pula dengan harga rumah ketika itu? Jadi saya harap golongan belia luar bandar dapat lontar idea dan mungkin boleh dimasukkan dalam Dasar Luar Bandar yang akan dibentangkan kepada kabinet pada Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette