KUALA LUMPUR – Selepas 18 tahun bergelar penyanyi, Siti Nordiana melangkah setapak lagi dengan cuba meneroka bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik.

Maka lahirlah lagu yang berjudul Terus Mencintai yang mengungkap segala rasa cinta pelantun yang mesra dipanggil Nana melalui kisah benar hidupnya sejak zaman remaja sehinggalah sekarang.

Apabila menghayati setiap baris lagu itu, pasti ada yang terus terfikir lagu itu ditujukan pada seseorang.

“Lagu Terus Mencintai amat istimewa bagi saya yang mengisahkan kehidupan saya sendiri namun lagu itu tidak ditujukan khusus kepada individu tertentu.

 “Lirik yang saya ilhamkan mengandungi segala rasa cinta dan kisah hidup saya yang sebenar. Boleh dikatakan saya luahkan segala isi hati saya dalam lagu itu,” katanya.

Menurut Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, dia mengambil masa yang agak panjang untuk mencipta dan menulis lagu itu kerana dia mahu memberikan yang terbaik untuk single terbarunya itu.

Wanita berusia 33 tahun itu mula merakamkan lagu itu menggunakan voice note sambil meminta pandangan rakan-rakannya bagi mendapatkan melodi yang indah.

“Ketika dalam proses menulis lirik lagu itu juga sekali lagi saya minta pendapat rakan-rakan. Keseluruhan proses melengkapkan penciptaan lagu itu mengambil masa setahun dan siap sepenuhnya Februari lalu,” katanya pada majlis memperkenalkan single terbaharunya itu di sini semalam.

Single Terus Mencintai baru saja dilancarkan 8 Mac lalu dan sudah diputarkan di radio.

Lagu itu meletakkan Nana sebagai seperti ‘penyanyi baru’ apabila perlu melakukan semua perkara sendiri termasuk aktiviti promosi dan hari ini pula Nana melancarkan muzik video lagu itu pula.

Bagaimanapun untuk penerbitan single itu, Nana bekerjasama dengan Luncai Emas dan edaran lagu oleh 17 Eleven Music Sdn Bhd.

Ujar Nana lagi, meskipun dia peruntukan bajet yang besar untuk penghasilan single itu namun dia perlu berani untuk mengorak langkah yang lebih besar dalam kerjaya seninya.

Pun begitu, kata Nana, dia  masih bersedia untuk bekerjasama dengan komposer lain.

“Lagu Terus Mencintai untuk menguji sejauh saya berjaya menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan berharap mendapat sambutan baik daripada peminat dan pendengar muzik,” katanya. – MalaysiaGazette