Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat lebih tinggi pada kadar 4.5 peratus pada bulan Februari 2017 kepada 119.7 daripada 114.5 pada bulan yang sama tahun lepas.

Jabatan Perangkaan berkata, antara kumpulan yang mencatatkan peningkatan adalah Pengangkutan (+17.9 peratus), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+4.3 peratus), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (+3.1 peratus), Kesihatan (+2.4 peratus), Restoran & Hotel (+2.3 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.2 peratus).

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 17.9 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Februari 2017, setelah naik 8.3 peratus pada Januari 2017.

Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.30 pada Februari 2017 berbanding RM1.75 pada Februari 2016. Bagi petrol RON97, harga purata meningkat kepada RM2.60 pada Februari 2017 daripada RM2.05 pada Februari 2016.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus pada Februari 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Minyak dan Lemak (+38.3 peratus), Sayur-sayuran (+9.5 peratus), Daging (+4.6 peratus) dan Ikan & Makanan Laut (+4.5 peratus).

Indeks Makanan di Luar Rumah terus meningkat pada Februari 2017, dengan kenaikan 4.1 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan Februari 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah Minyak Masak (+47.9 peratus), Kobis Bulat (+29.7 peratus), Bayam (+20.4 peratus), Tembikai (+14.0 peratus), Sawi (+13.4 peratus), Udang (+7.5 peratus), Ayam (+5.7 peratus), Ikan Tenggiri (+4.8 peratus) dan Ikan Kembong (+4.4 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Bawang Kecil (-13.8 peratus), Bawang Besar (-5.6 peratus) dan Lobak Merah (-1.3 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Tujuh negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional bagi Februari 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016. Indeks bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 5.4 peratus di Melaka, 5.3 peratus di Johor, 5.1 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 4.9 peratus di Kedah & Perlis, 4.7 peratus di Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, 4.5 peratus di Pulau Pinang dan 4.4 peratus di Negeri Sembilan.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 0.9 peratus pada Februari 2017, pada kadar yang sama dengan bulan Januari 2017. Sementara itu, indeks kumpulan Bukan Makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus pada Februari 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi Februari 2017 meningkat 1.3 peratus berbanding Januari 2017. (Jadual 1)

Inflasi teras naik 2.5 peratus pada Februari 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+3.7 peratus), Pengangkutan (+3.1 peratus), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (+3.1 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.7 peratus) dan Kesihatan (+2.4 peratus). – MalaysiaGazette