Home Ekonomi Kadar inflasi Mac diramal turut naik

Kadar inflasi Mac diramal turut naik

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi dijangka meneruskan kenaikan pada bulan Mac dipacu oleh kenaikan harga gula.

Harga gula naik sebanyak 11 sen kepada RM2.95 sekilogram disebabkan kemerosotan nilai ringgit.

Harga import gula adalah sebanyak AS$0.15 bagi setiap paun pada tahun 2013 dan harga semasa sekarang sekarang ialah AS$0.21.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, kenaikan sedikit dalam harga gula akan mewakili kenaikan inflasi makanan bagi bulan Mac kerana gula adalah asas makanan dan minuman.

Makanan dan minuman bukan alkohol mewakili kira-kira 30.2 peratus daripada perbelanjaan isi rumah Malaysia.

“Lantaran itu, kenaikan inflasi makanan akan memberi kesan ketara kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Mengulas mengenai inflasi Februari, MIDF Research berkata, kadar itu melebihi jangkaannya yang dipacu oleh harga petrol yang meningkat menyumbang kepada kenaikan dalam inflasi pengangkutan dan bukan makanan.

Firma penyelidikan itu berkata, penyelarasan baharu harga minyak runcit mulai 29 Mac ini akan menyaksikan penurunan harga petrol dan diesel.

“Dengan sistem baharu, ada kemungkinan persaingan meningkat dalam kalangan harga runcit tempatan.

“Berdasarkan harga minyak global dan pergerakan ringgit pada bulan Mac, kami menjangkakan RON95 dikurangkan 5 sen hingga 10 sen,” katanya.

MIDF Research berkata, kebanyakan ekonomi menyaksikan peningkatan inflasi termasuk Amerika Syarikat yang merekodkan kadar inflasi melepasi sasaran 2.0 peratus kepada 2.7 peratus pada Februari.

Kadar inflasi Eropah juga naik kepada 2.0 peratus pada bulan Februari dan semua ekonomi Asia merekodkan kadar inflasi yang kukuh pada bulan itu kecuali Thailand yang berkembang 1.4 peratus.

“Kadar inflasi meningkat bagi kebanyakan ekonomi memberi isyarat pemulihan dalam permintaan global, dipacu oleh harga komoditi.

“Kami menjangkakan trend menaik ini akan kekal pada akhir tahun ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, MIDF Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah 3.0 peratus disebabkan kenaikan inflasi didorong oleh faktor kos.

“Kami percaya kadar faedah kekal sepanjang tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette