SUBANG JAYA – Suami kepada penyanyi Nora Ariffin, Johan Nawawi meninggal dunia di pusat perubatan di sini awal pagi ini.

Nora mengesahkan berita itu dalam satu kiriman ringkas mesej suara.

Johan, 52, yang juga komposer disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 pagi.

Allahyarham dikatakan dibawa ke pusat perubatan berkenaan malam tadi kerana demam selepas pulang dari luar negara beberapa hari lalu.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di Masjid Kampung Tunku, di sini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di lokasi yang sama selepas solat Jumaat.

Johan adalah penggubah lagu pop dalam industri muzik Malaysia sejak 1980-an.

Antara lagu popular ciptaannya berjudul Hanya Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera nyanyian Nora selain lagu-lagu popular Datuk Sheila Majid seperti Sinaran dan Warna.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. –  MalaysiaGazette