Amos Yee

CHICAGO – Blogger remaja warga Singapura, Amos Yee yang dipenjarakan sebanyak dua kali di negaranya kerana menyiarkan kritikan politik dan agama diberi suaka oleh Amerika Syarikat (AS).

Yee, 18, ditahan di AS sejak beliau tiba di Lapangan Terbang O’Hare, Chicago pada Disember lalu.

Beliau memasuki negara itu dengan menggunakan visa pelancong tetapi memberitahu pegawai imigresen bahawa tujuannya ialah mencari perlindungan.

Berikutan keputusan yang dibuat semalam, Yee dijangka dibebaskan tidak lama lagi.

Jabatan Keselamatan Dalam Negara AS menolak permohonan suaka Yee, bagaimanapun hakim imigresen memihak kepada remaja itu.

Dalam kertas penghakiman setebal 13 muka surat, Hakim Samuel Cole memutuskan Yee menghadapi penganiayaan di Singapura berikutan daripada pendirian politiknya, lapor BBC News.

“Yee menunjukkan kesengsaraan dengan hukuman lalu kerana pendirian politiknya dan bimbang dengan hukuman pada masa akan datang di Singapura,” kata Coel.

“Oleh itu, mahkamah ini membenarkan permohonan suakanya,” katanya

Peguam Yee, Sandra Grossman berkata, remaja itu mungkin dibebaskan seawal Isnin ini.

Dalam satu kenyataan, Grossman mengalu-alukan keputusan hakim itu dan berkata: “Hak kebebasan bersuara tidak banyak, malah apabila ucapan seperti itu dianggap menyinggung perasaan,”.

Pada September 2016, remaja itu dipenjara selama enam minggu di Singapura selepas didapati bersalah ‘melukai perasaan agama’.

Yee menyiarkan rakaman video yang dilihat kritikal kepada penganut agama Kristian dan Islam.

Beliau juga dipenjarakan oleh mahkamah Singapura selama empat minggu pada 2015 kerana mengkritik Kristian dan menyiarkan video mengenai bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.

Video yang disiarkan menerusi YouTube sehari selepas kematian Kuan Yew membuat perbandingan antara bekas Perdana Menteri itu dengan Jesus Christ.

Beliau kemudiannya menyiarkan lakaran karton yang menggambarkan Kuan Yew dan bekas Perdana Menteri United Kingdon, Margaret Thatcher.

Tindakannya itu menyebabkan banyak laporan polis diterima dan Yee dilaporkan menerima ancaman selepas itu.