Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas
Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir sebenarnya yang tidak mempunyai pendirian kerana sering keluar masuk parti.

Mohd Amar menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai seorang yang kecewa kerana gagal mencapai cita-cita yang diimpikannya sehingga bertukar-tukar pendirian.

“Apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan beliau seorang yang kecewa apabila beliau gagal memenuhi apa yang diimpikan,” beliau dipetik berkata ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas Kali Ke-64 hari ini.

Mohd Amar memberi respon terhadap kenyataan awal Dr Mahathir yang mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kurang karisma hingga membuatkan parti itu keliru membuat keputusan.

Berbeza dengan parti lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, pendirian Pas tetap kukuh sebagaimana terkandung dalam perlembagaan

“Kita tidak berganjak dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini.

“Siapa jadi Presiden Pas, ahli akan tetap memberikan sokongan,” katanya.

Mohd Amar berkata, Pas juga tetap dengan pendirian untuk menentang Umno pada PRU-14 nanti.- MalaysiaGazette