Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz

KOTA BHARU – Anggota keluarga bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Nik Mat hari ini membuat laporan polis terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung penganjuran satu seminar oleh parti itu yang menggunakan nama Nik Abdul Aziz.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh menganggap penganjuran seminar oleh Amanah adalah penghinaan terhadap Allahyarham bapanya itu yang selama ini istiqamah dengan perjuangan PAS.

“Amanah nak anjur seminar guna nama tok guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz) dan mereka sebelum ini sentiasa sebut Allahyarham pun akan sokong Amanah (jika masih hidup).

“Saya anggap ini satu penghinaan kepada Allahyarham kerana kita sedia maklum Allahyarham sentiasa istiqamah dengan perjuangan PAS ketika beliau masih hidup,” katanya pada sidang akhbar di rumah Allahyarham di Pulau Melaka di sini, Sabtu.

Hadir sama, adik Allahyarham, Nik Din dan Nik Mohd Nasim dan anak Allahyarham, Nik Adli.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa kira-kira 10.30 pagi tadi.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS berkata anggota keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah jika parti itu terus menggunakan nama Allahyarham semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Amanah, menerusi laman sesawang mereka di http://amanahdaily.com pada 20 Mac lepas dilapor akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 April depan yang akan berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

— BERNAMA