Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan gimik perasmian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri) pada program Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-210 Tahun 2017 di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dua projek baharu kepada warga Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan merasmikan Tabung Amanah Warisan sempena sambutan Hari Polis Ke-210 hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat Najib semasa menghadiri sambutan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebagai tanda komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan dan meningkat mutu perkhidmatan polis selari dengan tuntutan zaman yang serba canggih kini.

Tabung Amanah Warisan yang diumum melibatkan sejumlah sumbangan RM3 juta khusus oleh kerajaan bagi memelihara hal ehwal kebajikan pesara dan bekas polis.

Dua projek baharu yang diumumkan Najib pula adalah stadium baharu yang berkapasiti boleh memuatkan 30,000 orang di Pulapol dan bangunan baharu pusat latihan Unit Tindakan Khas (UTK) yang lebih canggih di Semenyih, Selangor.

Sementara itu, Najib juga menyampaikan penghargaan kepada polis yang menjadi tunjang dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Tiada siapa pun yang dapat menafikan, sejak dulu lagi, sejarah telah menunjukkan bahawa, jasa dan sumbangan PDRM begitu besar sekali terhadap rakyat serta negara,” kata Najib.

Dalam pada itu, Najib juga membidas pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memperlekehkan peranan pihak polis dengan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan tidak bermaruah.

“Sebab itu, saya berasa sedih, apabila ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, cuba memperkecilkan peranan dan sumbangan serta memburuk-burukkan imej atau nama baik pasukan Polis Diraja Malaysia dengan pelbagai tohmahan dan cerita palsu yang tidak munasabah sama sekali.

“Pastinya, perbuatan sebegini sungguh tidak wajar dan kurang bermaruah, apatah lagi jika ia sengaja dilakukan atas tujuan-tujuan tertentu termasuklah didorong oleh fahaman politik sempit,” katanya lagi.

Menyedari peredaran zaman yang semakin moden dan berteknologi tinggi, Najib menggesa supaya pasukan polis melakukan transformasi seiring dengan tuntutan zaman.

“Hatta, rencam jenayah kini, bukan lagi bersifat konvensional, malah turut melibatkan perlakuan jenayah yang sukar untuk dijejaki seperti jenayah kolar putih yang melibatkan penyalahgunaan teknologi canggih berkomputer; jenayah terancang rentas sempadan, jenayah siber, jenayah keganasan, jenayah pemerdagangan manusia dan pelbagai lagi kegiatan jenayah baharu.

“Makanya, saya berpendapat bahawa, sebagai sebuah organisasi penguatkuasaan yang yang dinamik lagi progresif, PDRM perlu melakukan transformasi, bergerak seiring tuntutan semasa, perubahan persekitaran dan ekspektasi masyarakat yang semakin meningkat,” ujarnya.

Selain itu, Najib juga berkata polis perlu terus menjadi juara di hati rakyat.

“Lebih jauh daripada itu, PDRM juga seharusnya terus berusaha gigih, bagi menjadi juara di hati rakyat, khususnya menjurus kepada soal menjaga keamanan, keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya. – MalaysiaGazette.