Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan sistem sukarelawan atas talian bagi mendapatkan kerjasama orang ramai dalam usaha memerangi jenayah dalam negara.

Sistem tersebut yang dikenali sebagai Volunteer Smartphone Patrol (VSP) merupakan aplikasi mudah alih melalui peranti telefon pintar dimana masyarakat boleh menyalurkan maklumat berhubung jenayah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Dengan aplikasi yang disediakan, masyarakat boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian,” kata Khalid semasa sambutan Hari Polis Ke-210 di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak pagi ini.

Aplikasi ini dibangunkan menerusi kerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan PDRM dibawah Program Rakan Cop.

Dengan aplikasi ini, Khalid berharap usaha dalam menurunkan kadar jenayah dalam negara.

“Dalam usaha menangani jenayah indeks, kita telah berjaya mencatatkan penurunan (Indeks Jenayah) sebanyak 2.8 peratus bagi tempoh Januari sehingga Disember 2016, berbanding tempoh yang sama tahun 2015,” katanya.

Pelancaran VSP disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyambut baik inisiatif diperkenalkan PDRM dan mengharapkan ia dapat menjadi satu gerakan massa di mana masyarakat menjadi mata dan telinga kepada polis.

“Saya dimaklumkan, inisiatif VSP ini merupakan salah satu daripada program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), di mana PDRM menjadi agensi pelaksananya, melalui ‘engagement’ dengan lebih 11 juta pengguna telefon pintar di seluruh negara.

“Hasilnya kelak, akan merancakkan aktiviti pengawasan jenayah dan boleh menjadi satu gerakan massa (mass movement) melalui penglibatan masyarakat sebagai “mata dan telinga” kepada pihak PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga mengucapkan tahniah kepada PDRM atas pencapaian dalam mengurangkan jenayah.

Menurut statistik PDRM, Indeks Jenayah di seluruh negara pada tahun lalu telah berkurang hampir tiga peratus berbanding tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 3,192 kes daripada 115,543 kepada 112,351 kes.

Manakala, jumlah kes yang berjaya diselesaikan PDRM pada 2016 berbanding 2015 meningkat daripada 51.4 peratus kepada 53.5 peratus.

“Syabas diucapkan!” kata Najib.

Bagaimanapun, Najib menggesa supaya warga polis bekerja lebih keras dan meletak sasaran mengurangkan jenayah indeks sekurang-kurangnya kepada lima ke 10 peratus tahun ini. – MalaysiaGazette