Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – “Saya tidak nampak sebab kukuh mengapa orang bukan Islam menentang pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) kerana ia tidak melibatkan langsung mereka.

“Sedangkan orang Islam gembira apabila hukuman Islam dilaksanakan ke atas mereka, mengapa bukan Islam pula yang memperjuangkan kesaksamaan di dalam hal ini?

“Orang Islam tidak menuntut kesaksamaan di dalam hal ini (hukuman syariah) kerana semuanya tahu orang Islam di negara ini terikat dengan dua undang-undang,” soal bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan istimewa bertajuk “Islam sebagai Undang-Undang di tanah ini,” anjuran Malaysia Lawyers Circle di sini hari ini.

Katanya, beliau ada terdengar mengenai hujah masyarakat bukan Islam yang bimbang tempias RUU355 akan terkena kepada mereka dengan mengambil kes R. Shubashini sebagai contoh.

Bagaimanapun, jelas Ahmad Fairuz masyarakat sebenarnya keliru di antara Akta 355 yang merupakan sebuah akta melibatkan kes-kes jenayah sedangkan apa yang berlaku ke atas Shubashini yang merupakan kes sivil.

“Sememangnya Akta 355 tidak melibatkan langsung bukan Islam. Tiada kaitan. Apa yang bukan Islam perlu risau?

“Jangan keliru dengan kes penceraian atau penjagaan anak dan sebagainya. Itu kes sivil, bukan kes jenayah.

“Kita maklum ada kelemahan di dalam kes-kes seperti penjagaan anak dan sebagainya dan di sinilah kita sedang memikirkan mengenai pindaan Akta 164 pula untuk penambahbaikan,” katanya.

Untuk rekod, di dalam kes, R. Shubashini wanita beragama Hindu itu mahu menghalang suaminya yang telah memeluk Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah daripada membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah.

Suaminya telah memeluk Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak lelaki sulung mereka, Dharvin Joshua, 4.

Muhammad Shafi kemudiannya membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah serta memohon hak penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.

Ketika ditanya mengenai keperluan untuk melakukan pindaan terhadap RUU355 sedangkan hukuman maksimum di dalam akta sedia ada masih belum digunakan sepenuhnya, Ahmad Fairuz berpendapat, ini adalah kerana semakin banyak kes yang melibatkan jenayah di bawah akta berkenaan berlaku ketika ini.

Peningkatan hukuman maksimum diharapkan dapat membantu mengurangkan kejadian-kejadian jenayah tersebut.

Perkara utama di dalam cadangan pindaan Akta 355 adalah supaya bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat dipertingkatkan dan diperluaskan sejajar dengan peningkatan janayah keganasan masa kini.

Secara tidak langsung, katanya, ini dapat menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang masih di takuk lama dengan hukumannya yang paling tinggi jauh lebih rendah dari Mahkamah Majistret iaitu maksimum tiga tahun penjara, enam kali sebatan, denda RM5000 atau kombinasi antaranya.

Katanya, secara realiti, kesalahan-kesalahan jenayah syariah sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada Malaysia, sama ada di dalam Kanun Keseksaan atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri.

“RUU355 juga bukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Ia memang hanya tertakluk kepada perkara-perkara di bawah Mahkamah Syariah sahaja.

“Apa sahaja demi memartabatkan undang-undang Islam, saya akan sokong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette