AZMIN ALI

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegur Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengeluarkan perkataan kurang manis kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perkataan seperti ‘biawak hidup’ yang diibaratkan Abdul Hadi bagi menyamakan kerjasama parti itu dengan PH tidak sesuai.

“Kenapa perlu keluarkan perkataan itu (biawak hidup). Ia sangat tidak manis terutama di khalayak umum.

“Dia patut cakap yang baik-baik, sopan dan perkataan yang menghormati kawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan, menyifatkan menyertai Barisan Nasional (BN) laksana memikul biawak hidup walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam parti itu telahpun keluar menyertai PH.

Bahkan, kata Abdul Hadi lagi, menyertai PH pula biawaknya lebih besar dan peyakitnya lebih parah.

Kata Mohamed Azmin, istilah yang digunakan oleh Ahli Parlimen Marang itu tidak sesuai untuk diucapkan walaupun kepada musuh sekali pun.

“Tidak ada keperluan nak gunakan perkataan atau istilah sedemikian,” katanya.

Katanya, beliau boleh menerima keputusan Pas untuk tidak menyertai PH, tetapi tidak bersetuju kalau disamakan dengan nama binatang atau haiwan.

Beliau turut menjelaskan, walaupun Pas Pusat memutuskan tidak menyertai PH, PKR akan tetap meneruskan hubungannya dengan Pas Selangor.

“Selagi kepimpinan tertinggi Pas Pusat tidak memuktamadkan hala tuju mereka, selagi itu kita (PKR) akan tetap berhubung dengan Pas Selangor,” tegas beliau. – MalaysiaGazette