AMSTERDAM – Belanda akhirnya memecat jurulatih, Danny Blind susulan kekalahan memalukan 0-2 kepada Bulgaria dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 pada Sabtu lalu.

Bapa kepada pemain Manchester United, Daley Blind itu menggantikan Guus Hiddink pada 2015 tetapi dia gagal membawa pasukan The Orange itu melayakkan diri ke Kejohanan Eropah (Euro 2016) di Perancis pada tahun lalu.

Kekalahan mengejut kepada Bulgaria menyaksikan peluang Belanda untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia pada tahun depan semakin pudar.
Mereka kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu kumpulan A, Perancis.

Dalam lima perlawanan setakat ini, Belanda hanya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Tugas mengendalikan Belanda akan diambil-alih buat sementara oleh Fred Grim ketika pasukan itu bakal bertemu Itali dalam aksi persahabatan. – MalaysiaGazette