Jabatan Forensik HKL

KUALA LUMPUR – Selepas berita melaporkan bahawa mayat Kim Jong-nam telah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur semalam, pengamal media hari ini berkampung di luar perkarangan Kedutaan Korea Utara.

Wartawan dari media tempatan dan antarabangsa telah berkumpul di Jalan Batai, Bukit Damansara seawal 7 pagi bagi mendapatkan komen daripada pegawai kedutaan.

Kaunselor Kim Yu-song dan pemandunya dilihat meninggalkan perkarangan kedutaan kira-kira 8.40 pagi dengan membawa beberapa bagasi. Bagaimanapun, destinasi mereka tidak diketahui.

Jurucakap rasmi kedutaan yang juga bekas duta negara itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ri Tong-il juga tidak kelihatan memasuki kedutaan selepas dikatakan menghadiri mesyuarat di Jalan Bellamy Sabtu lepas.

Semalam, empat lelaki berpakaian biasa dipercayai anggota polis Cawangan Khas memasuki perkarangan kedutaan selama kira-kira tiga jam.

Sejurus selepas itu, mayat Jong-nam dilaporkan dibawa keluar dari IPFN dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih dan diiringi beberapa kenderaan polis.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas oleh dua wanita menggunakan agen saraf VX yang sangat bertoksik.

Sejak kejadian itu, hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia terjejas berikutan kenyataan yang diberikan bekas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol.

Pada 4 Mac lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ selepas beliau gagal hadir apabila dipanggil oleh Wisma Putra. Beliau meninggalkan Malaysia pada 6 Mac.

— BERNAMA