R&R Machap

KUALA LUMPUR – Seorang pengunjung di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berkongsi pengalaman seram apabila diganggu entiti yang tidak dapat dilihat.

Kejadian dikatakan berlaku di R&R Machap menghala selatan malam kelmarin.

Menerusi rakaman yang di muat naik di media sosial, lelaki terbabit menggunakan telefon bimbitnya merakam kuda spring di kawasan permainan kanak-kanak di hentian berkenaan bergerak sendiri walaupun tanpa ada sesiapa duduk di atasnya.

Berdasarkan percakapannya, lelaki itu yang sedang menikmati makanan berseorangan diri di satu sudut di hentian berkenaan sebelum dikejutkan dengan kejadian aneh hingga membuatkan seleranya terhenti.

“Tengah makan sesorang ni. Hentian Machap sebelah selatan. ‘Binatang’ ni boleh bergoyang sendiri. Aduh….mencabar minda betullah. Tak berhenti pulak tu. Sapa pulak yang main ni,” katanya.

Semasa kejadian itu dirakam suasana sekitar R&R gelap dipercayai sudah malam.

Lelaki berkenaan turut meminta makhluk itu tidak menggangunya berhenti kerana hendak meneruskan makan malamnya di situ sebelum meruskan perjalanan.

Video yang dimuat naik itu mendapat pelbagai komen daripada pengguna laman sosial.- MalaysiaGazette