JOHOR BAHRU – Seorang murid Tahun Satu cedera dan melecur di punggung dipercayai akibat dirotan dan didera dengan perkakas panas oleh guru tuisyennya.

Kakak murid itu berkata adik lelakinya dikatakan diperlakukan sedemikian oleh guru wanita itu akibat nakal dan tidak mahu menyiapkan kerja sekolah.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh sepasang suami isteri yang merupakan jiran guru tersebut, kira-kira 5 petang semalam dengan mengatakan adik saya melarikan diri dari rumah guru berkenaan lalu bersembunyi di rumah mereka.

“Apabila bergegas berjumpa adik saya, saya mendapati terdapat kesan darah pada seluarnya dan kesan melecur pada punggung. Adik saya memberitahu guru itu merotannya dan kemudian melecurkan punggungnya menggunakan cawan dan kuali panas yang direndam dalam air mendidih,” katanya.

Wanita berumur 24 tahun itu yang merupakan peniaga makanan berkata demikian pada sidang media yang diatur Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Rinting, Cheo Yee How, di sini Isnin.

Menurutnya, adiknya yang bersekolah di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, dihantar ke pusat tuisyen berkenaan sejak Disember lepas dan kemudian tinggal di rumah guru tersebut sejak dua minggu lepas.

Katanya guru tersebut meminta anak bongsu daripada enam beradik itu tinggal di rumah berkenaan dengan alasan dapat mendidiknya dan membantu dalam menyiapkan kerja sekolahnya.

Lim berkata adiknya yang disahkan melecur tahap dua kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah dan dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Sentral, di sini, kira-kira 10 malam tadi.

“Tujuan saya membuat laporan itu kerana mahu guru tersebut dikenakan tindakan undang-undang. Saya ada menghubunginya menerusi telefon bimbit untuk berjumpa, namun, dia memberikan alasan sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Saya kemudian pergi ke rumahnya dan mendapati hanya suaminya berada di rumah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi berkata polis sudah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut.

— BERNAMA