Najib Razak meninjau salah sebuah unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pemilik PPA1M Larai, Presint 6, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 27 MAC 2017.

PUTRAJAYA – Sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan awam, kerajaan hari ini mengumumkan pemberian subsidi kepada penerima Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Larai antara RM25,000 hingga RM38,000 sebuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai tunjang kepada kerajaan, penjawat awam merupakan satu kumpulan sasar yang amat penting bukan sahaja kerana menyokong dan melaksana dasar-dasar kerajaan malah banyak peranan dan jasa yang telah dicurahkan kepada kerajaan.

Justeru katanya, pembinaan projek perumahan kepada penjawat awam ini boleh dilihat sebagai peluang keemasan kepada golongan ini untuk menambahkan aset mereka.

“Amat wajar semua penjawat awam menduduki kediaman yang selesa aman dan dapat mengecapi penambah nilai harga aset yang dapat dijadikan sebagai simpanan mereka sepanjang usia mereka sebagai penjawat awam.

“Kerajaan mengambil langkah membina projek perumahan 1Malaysia bukan semata-mata dari sudut menyediakan kediaman kepada penjawat awam demi kesejahteraan keluarga dan diri mereka tetapi kita melihat ini sebagai satu usaha penambahbaikan harta mereka.

“Dengan cara menyediakan rumah-rumah ini dan diberi hak milik kepada penjawat awam seperti projek PPA1M ini,” katanya dalam ucapan program penyerahan kunci kepada pemilik-pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Larai di Presint 6 Putrajaya hari ini.

Turut hadir dalam majlis penyerahan kunci ini adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim Ismail.

Projek PPA1M Larai ini mempunyai 536 unit yang berkeluasan 1,000 kaki persegi; 16 unit OKU; 748 unit berkeluasan 1,200 kaki persegi dan 380 unit berkeluasan 1,500 kaki persegi.

Pembinaan projek ini menurut Najib, bertujuan mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40 dan M40 terutamanya penjawat awam.

“Apa yang perlu saya tegaskan di sini subsidi yang disediakan oleh kerajaan untuk setiap unit rumah adalah diantara RM25,000 hingga RM38,000 seunit bergantung kepada saiz.

“Kalau rumah itu berkeluasan 1,200 kaki persegi harga jualannya adalah RM260,000 dan nilai subsidi kerajaan adalah RM30,000. Bagi 1,500 kali persegi harga jualan RM300,000 dan subsidinya ialah RM38,000. Jadi kita dapat melihat bagaimana usaha kerajaan dapat mencapai dua objektif.

“Saya juga difahamkan bahawa projek ini adalah yang terbesar yang pernah kita laksanakan setakat ini.

“Mudah-mudahan ini satu lagi tanda yang bermakna dalam meneruskan agenda perumahan negara,” jelas Najib di hadapan lebih 1,600 penerima PPA1M hari ini.

Untuk rekod, harga seunit rumah PPA1M ini antara RM150,000 sehingga RM300,000.

Projek PPA1M ini adalah antara 17,500 unit rumah yang telah dirancang yang terdiri daripada tiga fasa di Putrajaya.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk membina 100,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara menjelang 2018. – MalaysiaGazette