MANCHESTER – Akhbar Sport dari Sepanyol mendedahkan pengurusan Red Devils telah bersedia menebus klausa pelepasan Neymar dengan jumlah £200 juta.

Sumber akhbar itu berkata, bintang Catalan dan Brazil itu dilaporkan bakal menerima ‘gaji termahal’ dalam rekod Liga Perdana Inggeris.

Neymar, 25, dikatakan akan menerima gaji sebanyak £25 juta semusim jika beliau bersetuju mengenai perpindahan ke Old Trafford.

Sebelum ini, United dilaporkan sedia memecahkan rekod perpindahan paling mahal di dunia yang dikini dipegang oleh bintang Perancis, Paul Pogba.

Portal Metro.uk melaporkan, Neymar menjadi sasaran utama Jose Mourinho pada jendela perpindahan hujung musim ini untuk memantapkan lagi skuad Red Devils.

Mourinho membeli Pogba dengan nilai £89 juta (RM491) pada musim lalu dan kini dia dilapor akan diberikan dana sebanyak £200 juta (RM1.1 bilion) untuk memancing kapten pasukan Brazil itu.

Neymar baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona pada Oktober lalu dengan klausa pelepasan bernilai £180 juta (RM994 juta) dan nilai tersebut dijangka meningkat £20 juta (RM110 juta) pada hujung musim ini.

 Walaupun Neymar menunjukkan komitmen yang tinggi bersama pasukannya, United yakin mereka mampu memancing penyerang berbisa itu ke Old Trafford pada musim depan.

Malah media Sepanyol melaporkan, Mourinho cuba mempengaruhi pemain berusia 25 tahun itu untuk berhijrah bagi mengembangkan lagi kariernya. –  MalaysiaGazette