Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

PUTRAJAYA – Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menyatakan Malaysia akan parah sekiranya negeri itu tidak menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Menteri Besar Selangoritu hanya mendabik dada dengan fakta yang tidak tepat.

“Cukup-cukuplah Azmin kalau kata Selangor ini hebat, hebat tara mana? Urus bola pun tak pandai, boleh pulak lari malam. Mengurus sampah pun kelam kabut. Mengurus rumah orang miskin pun tak boleh. Bagaimana nak urus Selangor?

“Dulu masa BN memerintah Selangor nombor satu dalam KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara. Bila Azmin memerintah carta Selangor sudah jatuh.

“Negeri Sarawak (kadar kehadiran pelabur) lebih tinggi daripada Selangor diikuti Johor,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di kementeriannya hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa ekonomi negara ini akan semakin parah sekiranya Selangor tidak berjaya mencatat perolehan 23.6 peratus dalam KDNK negara.

Katanya, peratusan itu menjelaskan Selangor adalah negeri terpenting kepada sektor pembangunan dan pelaburan yang dihadapi negara kini.

Mohamed Azmin merujuk laporan Malaysian Economy Institute Research yang menyebut Selangor adalah indikator utama Malaysia dalam menyumbang satu perempat daripada KDNK negara menjelang 2020.

“Kenyataan yang popular macam ini jadi mainan Azmin. Dia akan umum perkara-perkara yang menyenangkan rakyat tapi bila laksamana tidak seperti yang dilaksanakan. Nak urus duit khairat kematian RM2,500 pun tidak boleh. Jadi kelam kabut.

“Sebab itu BN Selangor buat Ops Tawas Kita akan buat laporan kepada pihak berkuasa dan siasat supaya bagi tahu kepada rakyat bukan mudah jadi kerajaan. Waktu jadi pembangkang semua tidak kena. Sejarah bila sudah jadi kerajaan kita nak tengok bagaimana dia laksanakan dasar baru,” kata Noh lagi.

BN Selangor sebelum ini melancarkan Ops Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi membuktikan berlaku penyelewengan menerusi Skim Mesra Usai Emas (SMUE) kepada waris yang telah meninggal dunia.

Peruntukan sebanyak RM2,500 telah diseleweng pijak tidak bertanggungjawab di bawah pentadbiran Azmin.

Sebelum ini Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor yang diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos telah membuat beberapa laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan itu.- MalaysiaGazette

Azmin dakwa ekonomi Malaysia parah tanpa Selangor