Johari Abdul Ghani (kanan) diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Global Offset & Countertrade Association (GOCA) Asia Pasific (APAC) 2017 di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 MAC 2017.

Kuala Lumpur – Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia bernilai AS$17.5 bilion yang diperolehi daripada pelbagai pemerolehan kerajaan (dari segi pertahanan dan bukan pertahanan) sehingga tahun 2021.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, daripada 265 projek, tujuh daripadanya telah disiapkan sepenuhnya dan mencatatkan sejumlah AS$1.3 bilion Nilai Kredit ICP (ICV) yang menyumbang kepada ekonomi semasa negara.

Nilai nominal bagi program-program tersebut dianggarkan AS$250 juta.

“Dengan itu, boleh dirangkumkan setiap AS$1 yang dibelanjakan ke atas pemerolehan, kerajaan mendapat pulangan tiga atau empat kali lebih tinggi daripada segi kualiti pelaburan, peluang pekerjaan (pekerja berkemahiran), peningkatan teknikal dan pindahan teknologi.

“Saya dengan bangganya ingin berkongsi contoh utama kejayaan Malaysia di dalam pelaksanaan ICP.

“Melalui Pemerolehan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, pelaksanaan ICP berjaya menghasilkan kilang pemasangan komponen MRT di Rasa, Selangor yang merupakan satu-satunya kilang seumpamanya di negara ini yang bernilai RM81 juta.

“Projek ini berjaya membuka peluang kepada 200 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu selain membolehkan pemindahan teknologi daripada peneraju global di dalam teknologi rel serta membangunkan industri baharu di dalam pengangkutan rel,” katanya semasa berucap di Persidangan Asia Pasifik GOCA 2017 di sini hari ini.

Menurut Johari, ICP dijangka menarik pelaburan bernilai lebih AS$17.5 bilion di Malaysia menjelang 2020. – MalaysiGazette