Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini menggesa Speaker Dewan Rakyat supaya memberi keutamaan kepada Rang Undang-Undang 355 (RUU355) untuk dibentangkan pada sidang dewan rakyat kali ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, atas tuntutan agama Islam, tiada alasan bagi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk melengah-lengahkan usul tersebut.

“Saya merayu atas nama Perkasa, merayu kepada Dewan Rakyat supaya beri laluan mudah bagi Hadi bawa usul RUU 355 untuk dibahas di Dewan Rakyat. Supaya janganlah di bawah peraturan mesyuarat, diletak RUU 355 ini di bawah sekali.

“Kita merayu kepada Speaker Dewan Rakyat atas nama demokrasi, atas nama tuntutan Islam, naikkanlah usul Hadi itu di atas supaya dibahaskan,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Ibrahim, sebagai menghormati proses demokrasi dalam negara ini juga, Pandikar Amin tiada alasan untuk melengahkan RUU tersebut.

“Pada saya tidak ada alasan langsung kepada Speaker untuk beri peluang kepada Hadi bentang usul ini. Ini juga menghormati proses demokrasi,” tambahnya.

Meskipun Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pernah mengumumkan untuk mengambilalih RUU355 untuk dibentangkan di Parlimen namun, Najib membatalkan hasrat tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat presiden parti-parti komponen BN Rabu lepas.

Tambah Ibrahim, meskipun BN membatalkan hasrat tersebut, usaha yang dibuat oleh Ahli Parlimen Marang itu tetap mendapat ganjaran pahala.

“Bagi Pas, saya rasa tiada apa yang membuatkan mereka dalam keadaan resah biarpun pelbagai cemuhan terhadap Pas apabila kerajaan tak ambil alih. 

“Katakan Pas kena main, kena kencing, semua tuduhan ini tak lebih dari mainan politik. Pada saya Pas dapat pahala,” tambahnya. – MalaysiaGazette