Liberalisme agama merupakan cabaran besar yang perlu ditangani Ahlu Sunnah Waljamaah

KUALA LUMPUR – Liberalisme agama dikenalpasti sebagai ancaman utama kepada ahli sunnah waljamaah di Malaysia yang mungkin menimbulkan perseteruan sesama umat Islam, kata beberapa ahli panel Seminar Ahlus Sunnah Waljamaah Kali Pertama 2017 hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mohd Tahir berkata ancaman tersebut tidak dapat dielak kerana perkembangan teknologi yang semakin pantas dan ia mencabar nilai yang dipegang oleh ahli sunnah selama ini.

Menurut Dr Aziz Jamaludin, pegangan tersebut membawa kepada kestabilan rohani masyarakat Islam sejak mula diterima sebagai agama oleh majoriti penduduk Tanah Melayu dan kemudiannya di Malaysia.

“Oleh hal yang demikian, tindakan tegas ke arah menghalang perkembangan yang lain mestilah diambil supaya pegangan ahli sunnah waljamaah itu tidak tergugat.

“Di rantau nusantara yang stabil dengan fahaman Sunni dan ahli sunnah waljamaah tidak sepatutnya dibiar menjadi sasaran resapan mana-mana aliran yang memungkinan kepada perseteruan atau permusuhan.

“Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh dikalangan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja,” kata beliau semasa seminar yang diadakan di Universiti Tun Abdul Razak pagi ini.

Sementara itu, panel, Profesor Datuk Dr Sidek Baba pula menyifatkan liberalisme agama kerana mentafsir kefahaman berhubung Islam mengikut rasionaliti semata-mata.

“Liberal pluralis mengambil pendekatan liberal terhadap Islam dan mentafsir al-Quran mengikut rasionaliti semata-mata dan rasionaliti menuju jalan kebenaran.

“Lalu wujud penyimpangan yang amat ketara dalam tafsir dan menyatakan umat Islam tidak akan maju selagi berpegang dengan pendekatan ahli sunnah waljamaah dalam memahami dan melaksanakan Islam,” kata beliau.

Menurut Sidek Baba yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Malaysia kelahiran kumpulan seperti Sisters in Islam, kumpulan G25 dan banyak lagi, membawa tafsiran sendiri mengenai al-Quran walaupun pemahaman mereka terhadap Islam amat terbatas dan menyebabkan kekeliruan terjadi.

Seorang lagi panel dari sebuah universiti di Riau, Profesor Sudirman Johan pula berkata kelahiran golongan liberalisme agama ini juga mampu menyesatkan penganut sunnah waljamaah kerana sering menggunakan pendekatan rasional dalam hujah-hujah mereka.

“Golongan modernis yang sentiasa menggunakan pendekatan rasional dalam mengkaji persoalan-persoalan agama hendaklah berwaspada pengaruh jaringan Islam liberal.

“Kerna jaringan Islam liberal menghilangkan sekat dan batas yang telah ditetapkan syariat berdasarkan al-Quran dan hadis,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Sultan Syarif Kasim II. – MalaysiaGazette.