Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. foto: MOHD HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa menggunakan strategi yang memperalatkan orang Melayu untuk membinasakan kaumnya sendiri, dakwa Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Bekas Naib Pengerusi DAP itu berkata, ia terserlah selepas Kit Siang enggan menerima jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan mahu pun Ketua Pembangkang di Parlimen, malahan strategi tersebut didedahkan sendiri oleh pemimpin parti pembangkang itu, Hew Kuan Yau atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’.

“Lim Kit Siang menggunakan strategi jahat. Beliau menggunakan Melayu untuk membinasakan masyarakat Melayu sendiri. Disebabkan itu dia enggan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Strategi ini sudah didedah dan dilaksanakan oleh ‘Superman Hew,” kata Tunku Abdul Aziz dalam sidang media hari ini.

Kuan Yau menjadi bahan kritikan semasa berkempen di Sarawak tahun lepas apabila membuat kenyataan menyeru masyarakat Cina Sarawak supaya mengundi calon Melayu DAP – agar Melayu DAP boleh diperalatkan untuk ‘skrew’ kaumnya sendiri.

Ujar Tunku Abdul Aziz, strategi itu sengaja dirancang oleh Kit Siang bagi menampakkan seolah-olah orang Melayu yang akan menerajui negara ini sekiranya PH memenangi pilihan raya umum nanti.

“Dengan strategi ini, beliau (Kit Siang) berharap orang Melayu percaya jika Pakatan menang maka orang Melayu yang akan berada di kerusi kuasa untuk memerintah negara ini dan bukan Kit Siang,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang juga sudah berbaik dengan bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang suatu ketika dahulu adalah musuh ketatnya, langkah yang dilihat pengkritik bertujuan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu kepada pembangkang.

Bagaimanapun, Tun Abdul Aziz agak skeptikal kedua-dua pemimpin itu mampu bekerjasama memandangkan masing-masing mempunyai agenda kepentingan peribadi.

“Ia satu bentuk hubungan yang longgar antara DAP dengan parti Dr Mahathir, ia tidak akan mampu bertahan lama apabila hubungan itu berasaskan kurang kepercayaan satu sama lain,” katanya.

Beliau juga tidak menolak bakal berlaku pertembungan antara dua dinasti untuk mempertahankan kuasa masing-masing dan berharap orang Melayu tidak terpengaruh dengan strategi jahat itu.

“Saya berharap khususnya orang Melayu tidak terpengaruh dengan mudah,” katanya. – MalaysiaGazette