KRABI, THAILAND – Peserta ekspedisi berbasikal KEMM-VCI Cycling To Krabi 2017 berjaya menamatkan kayuhan sejauh 330 kilometer selepas tiga hari menempuh perjalanan mencabar bermula dari Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis pada Jumaat lalu.

Kesemua 15 peserta selamat tiba di pantai Ao Nang di sini tepat pukul 7 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) kelmarin.

2

Ketibaan mereka turut disertai seramai 20 penunggang basikal dari Krabi yang mengiringi mereka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi sejauh kira-kira 30 kilometer.

Ketua ekspedisi, Noor Asrekuzairey Mat Salim berkata, antara cabaran yang terpaksa dilalui peserta ialah bentuk muka bumi yang berbukit serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

Jelas beliau, walaupun dalam keadaan hujan lebat, peserta terpaksa meneruskan kayuhan agar dapat tiba di destinasi seperti yang dijadualkan.

4

“Bagaimanapun di sebalik cabaran-cabaran tersebut termasuk masalah tayar pancit, kami gembira kerana sepanjang perjalanan kami disambut orang tempatan dengan baik sekali.

“Lebih-lebih lagi apabila pihak polis di sini mengetahui tentang ekspedisi ini, mereka muncul membantu melancarkan perjalanan kami dengan mengawal trafik,” katanya kepada di sini hari ini.

2017-04-03-PHOTO-00000848

Ekspedisi itu yang dianjurkan oleh Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM) dengan kerjasama Vertex Central Industries Sdn. Bhd. (VCI) bertujuan membawa mesej keamanan bagi mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Peserta ekspedisi terdiri daripada pengamal-pengamal media daripada pelbagai agensi seperti Utusan Malaysia, Bernama, Bernama News Channel (BNC), Berita Harian, Malaysia Gazette dan The Sun.

Menurut Noor Asrekuzairey, sepanjang ekspedisi tersebut, peserta singgah di lima buah masjid di sekitar Satun, Trang dan Krabi bagi menyampaikan sumbangan.

“Di sana kami turut mengedar risalah yang diamanahkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk menjemput  warga selatan Thailand khususnya menghadiri program Perkampungan Sunnah yang akan diadakan pada 28 hingga 30 April ini di Kangar, Perlis.

Ekspedisi itu turut mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Petroleum Nasional Bhd. (Petroas), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jamu Mak Dara (JMD), DBI Technology Sdn Bhd, Time Reveal (M) Sdn. Bhd. dan Impact Media Communication (IMC). – MalaysiaGazette