Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim supaya bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Cabaran tersebut berikutan kritikan yang dibuat oleh Suee Lim yang cuba menjadi ‘hero’ berhubung pembinaan Hospital Tanjong Karang.

 “Kali ini ADUN Sekinchan mahu jadi hero dalam isu hospital ini. Kalau dia mahu jadi hero di Tanjung Karang, bertandinglah di Tanjung Karang.”

Tambah Noh, wakil rakyat pembangkang itu cuba memberi fakta yang tidak benar kepada rakyat berkenaan lokasi dan nama hospital tersebut yang sebelum ini dibina di bawah Parlimen Kuala Selangor.

Namun, setelah melalui proses persempadanan semula, hospital tersebut kemudiannya berada di bawah Parlimen Tanjong Karang.

“Soalnya, dia ni pembohong. Dia tidak tahu fakta yang sebenar. Hospital ini asalnya di Kuala Selangor. 

“Kali ini bila (dalam) mesuarat kabinet, saya semak semula lokasi hospital ini, dalam DUN Permatang. Sebab itu tukar nama jadi Hospital Tanjung Karang,” tambahnya.

Menurut Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, proses pembinaan hospital yang dikatakan gagal dilaksanakan sejak 16 tahun lepas kini sudah dalam proses pembinaan ketika ini.

Bagaimanapun, proses tersebut terpaksa mengambil masa berikutan penstrukturan kos pembinaan yang terpaksa dibuat sebelum ini.

Terdahulu, Suee Lim pada Rabu lalu ditempelak apabila menuduh kerajaan BN) gagal membina Hospital Tanjong Karang setelah 16 tahun menabur janji.

Noh bagaimanapun menafikan tuduhan wakil rakyat DAP itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selangor minggu lepas kerana dibuat tanpa berasaskan fakta.- MalaysiaGazette