Pengarah Urusan Putri Dewi, Ika Putri Dewi (dua dari kanan) bersama penyanyi Haiza (dua dari kiri).

BANGI – Syarikat pengeluar tudung tempatan, Putri Dewi menyasarkan jualan sebanyak RM300,000 sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Ika Putri Dewi berkata, sejak memasuki pasaran pada tahun 2010, tudung keluarannya mendapat sambutan memberangsangkan apabila pihaknya berjaya menjual pada nilai RM80,000 hingga RM100,000 sebulan.

Katanya, sambutan itu diterima melalui jualan konvensional yang selama ini menjadi rahsia kejayaan Putri Dewi.

“Mungkin ramai yang bertanya kenapa Putri Dewi tidak fokus kepada jualan melalui online (atas talian) selama ini. Ramai yang tertanya-tanya mengapa kami terus setia kepada jualan di pasar malam, pasar tani, pejabat kerajaan dan jualan di Karnival.

“Jawapan kami mudah kerana mahukan pelanggan kami mendapat sentuhan jiwa daripada kami. Kami mahu mengenali pelanggan kami secara langsung dan bertentang mata.

“Kami mahu pelanggan kami datang mencuba dan merasai kualiti setiap rekaan tudung kami. Kami sentiasa percaya bahawa sentuhan jiwa inilah yang membuatkan pelanggan setia kepada jenama Putri Dewi dan akan terus setia sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran laman web Putri Dewi dan koleksi terbaharu di sini baru -baru ini yang turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi dan penyampai radio popular, Haiza.

Namun begitu, Ika menegaskan, pihaknya tidak boleh menolak 100 peratus keajaiban jualan melalui online.

Ini kerana jelasnya, beliau sedar dewasa ini kebanyakan pelanggan muda lebih gemar membuat pembelian melalui online.

“Dengan itu, Putri Dewi telah mengambil initiatif untuk melancarkan laman web bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian serta mendapat maklumat terkini tentang himpunan terkini tudung Putri Dewi.

“Selain itu, kami juga boleh didekati melalui FBADS dan Instagram Putri Dewi yang telah kami bangunkan di alam maya.

“Semua ini kami bina khusus bagi memudahkan pelanggan kami membuat pembelian selain meninjau rekaan  terkini tudung kami,” katanya.

Mengulas koleksi terkini, Ika memberitahu, Putri Dewi tampil dengan dua rekaan iaitu Instant Shawl yang datang lengkap dengan inner dan juga Loose Shawl yang dijual tanpa inner.

“Kesemua himpunan ini hadir dalam 10 warna menarik dan setiap tudung mempunyai perincian tampalan bunga di bahagian bucu bagi menaikkan seri sipemakai.

“Paling menarik Instant Shawl yang kami hasilkan hanya mengambil masa tujuh saat sahaja untuk dipakai,” katanya.

Semua jenis tudung Putri Dewi  dijual pada harga bermula RM29 hingga RM89 dan hadir dalam saiz XS shingga XL.

Antara koleksi terlaris sebelum ini adalah Rapunzal, Yumna dan Sofiyya Awning.

Putri Dewi juga mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi ejen dengan modal serendah RM1,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai tudung Putri Dewi, orang ramai boleh melayari FBads Putri Dewi; Instagram : putridewi.official; laman web: putridewi.com atau hubungi talian 012-350 8610 (Ika Putri Dewi) dan  014-258 5004 (butik). – MalaysiaGazette