Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Suasana di Parlimen bertukar tegang sebelum Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian berkaitan dengan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Suasana tersebut bermula apabila Lee Boon Chye (PKR Gopeng) mempersoalkan keputusan Dewan mengutamakan usul Hadi untuk dibentangkan hari ini.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan, kerajaan meminta urusan kerajaan dihabiskan pada Rabu (semalam) dan pada hari ini terserah kepada Speaker untuk meneruskan aturan mesyuarat

“Saya hanya mengikuti Peraturan Mesyuarat,” menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Suasana semakin tegang apabila beberapa orang Ahli Parlimen lain turut berdiri untuk mencela, termasuk Ahli Parlimen Gelang Patah(DAP), Lim Kit Siang.

Turut kelihatan dalam perang mulut tersebut, Ahli Parlimen Puchong(DAP), Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Baling (BN), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Keadaan kembali tenang apabila Pandikar memberi laluan kepada Abdul Hadi untuk meneruskan pembentangan RUU355. – MalaysiaGazette