KUALA LUMPUR – Dakwaan Malindo Air yang melakukan proses ‘grooming check’ untuk mengenal pasti parut pada anggota badan calon-calon yang menjalani temuduga syarikat itu adalah mengejutkan dan sama sekali tidak boleh diterima.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, proses itu jika disahkan berlaku, merupakan satu penderaan seksual dan sama seperti kesalahan jenayah dan memerlukan segera campur tangan polis.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, tindakan itu melanggar privasi seseorang dan pelanggaran hak asasi manusia.

Tegas beliau, setiap pekerja mesti dihormati dan maruahnya dilindungi dan ia tidak terkecuali kepada pekerja-pekerja anak kapal wanita.

Mereka yang menjalani temuduga itu adalah daripada pelbagai personaliti dan mereka dituntut dengan toleransi yang paling tinggi apabila berada di udara.

“Ramai wanita tidak sabar-sabar untuk mengambil profesion ini dan bagi sesetengah ia adalah impian mereka.

“Disebabkan ini, penemuduga tidak boleh melakukan ‘grooming check’ dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan menjijikkan.

“Tuntutan Malindo yang mematuhi proses sewajarnya untuk mengesan parut pada tubuh badan adalah mengejutkan dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan tentang calon-calon yang menjalani temuduga jawatan anak kapal Malindo Air perlu membuka baju dalam untuk ‘grooming chcek’ yang menjadi salah satu prosedur dalam temuduga itu.

Bagaimanapun, Malindo Air menafikan perkara itu dan memaklumkan syarikat itu mematuhi pelaksanaan dan peraturan-peraturan dalam semua proses pengambilan, termasuk attendan penerbangan sejak penubuhannya pada 2013.

Solomon menegaskan, jika pakaian wanita untuk anak-anak kapal didedahkan, maka syarikat penerbangan yang perlu mengkaji semula pakaian seragam dan bukan melakukan penelitian terhadap tubuh anak-anak kapal dengan cara tidak munasabah.

Dalam konteks itu, MTUC menuntut pihak berkuasa mengambil langkah segera dan melaksanakan tindakan yang tegas.

Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia dan polis harus menjalankan siasatan.

Jika dakwaan itu benar, kaedah temuduga yang merendahkan martabat wanita perlu dihentikan segera dan tindakan ke atas pelaku dikenakan. – MalaysiaGazette