Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan sebelum sidang Parlimen yang akan datang.

Rancangan dari pihak kerajaan ini, dakwa beliau, bagi mengelak pihak pembangkang untuk berhujah berkenaan pembentangan usul Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa keputusan tersebut juga bagi menggagalkan usaha pembangkang memberikan hujah-hujah yang mempunyai asas yang kukuh berkenaan RUU355.

“Kemungkinan ada ramai yang membaca (ramal) selepas ini akan diadakan PRU sebelum sidang yang akan datang. 

“Kerana mereka tidak beri kita peluang untuk berhujah sebelum PRU itu, kerana bila mereka beri kita peluang, hujah kita mempunyai asas yg kukuh,” katanya.

Terdahulu, ketika sidang Dewan Rakyat memberi tumpuan terhadap hujah-hujah yang diberikan oleh wakil rakyat PAS berkenaan RUU355, pembangkang tidak diberi laluan untuk berbahas.

Khalid Samad yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara mendakwa bahawa pihak pembangkang seolah-olah dipermainkan pada sidang kali ini. 

“Kami rasa amat terkilan kerana tidak diberi peluang mengemukakan hujah-hujah dan mempersoalkan cara pemikiran dan rasional yag dikemukakan oleh Marang dan Kota Bharu. 

“Kita merasakan ini merupakan permainan drama yang amat teruk, yang mana hak kami untuk mengemukakan pandangan (telah) dirampas,” katanya.

Ketika di akhir pembentangan RUU355 hari ini, dewan sekali lagi bertukar menjadi tegang apabila pihak pembangkang mula mempersoalkan hak mereka untuk berhujah berkenaan RUU355.

Namun, menurut kuasa yang diberikan kepada Yang Dipertuan Dewan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan untuk menangguhkan sidang kali ini ke satu tarikh yang lain. – MalaysiaGazette