PUTRAJAYA – Penahanan tiga pemain Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) semalam yang dipercayai menerima rasuah bagi mengatur perlawanan Liga Perdana musim 2017 membuktikan keseriusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membendung gejala itu termasuk dalam bidang sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan langkah paling berkesan dengan melaksanakan penguatkuasaan yang sedia.

“Andaian saya, mungkin pemain yang ditahan ini adalah pemain baharu yang baru beraksi dalam Liga Perdana selain MIFA juga adalah sebuah kelab yang baharu.

“Jadi apabila mula bermain di liga yang lebih tinggi dan menikmati gaji RM10,000 hingga RM20,000, mereka mula membandingkan gaji mereka dengan pemain lain.

“Pada masa sama, perbandingan gaya hidup juga mungkin berlaku. Jadi ia mungkin faktor gejala rasuah berlaku dengan menyasarkan kepada pemain dan kelab yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pendaftaran Larian Obor KL2017 di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas tahan reman tiga pemain MIFA yang terdiri seorang pemain import Argentina berusia 29 tahun manakala dua lagi adalah warga tempatan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun.

SPRM semalam menahan tiga pemain bola sepak tersebut kerana disyaki mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak piala Liga Perdana Malaysia.

Daripada siasatan awal yang diperoleh  suspek telah menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM 30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek-suspek telah terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu.

Kata sumber itu, suspek-suspek ini telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada wang rasuah diterima itu.

Tambah sumber terbabit, kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berhubung siasatan kes tersebut pada masa terdekat. – MalaysiaGazette