Timbalan Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (tengah) beramah mesra bersama penerima sijil Perakuan Pentauliahan sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir (dua kanan) pada majlis pelancaran Modul Pendidikan Kewangan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2017

 

KUALA LUMPUR – Kebanyakan rakyat Malaysia bersifat “hidup untuk hari ini sahaja” (live for the moment) sehingga menyebabkan mereka tidak membuat simpanan pada masa panjang.

Manakala lebih daripada 75 peratus daripada rakyat Malaysia sukar untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghafour yang mendapati tahap celik kewangan rakyat Malaysia sangat rendah jika diukur dari segi pengetahuan kewangan, sikap dan perangai.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian Bank Negara, hanya 40 peratus daripada rakyat Malaysia bersedia untuk menghadapi hari persaraan.

Perbincangan kumpulan sasar dengan pesara baru-baru ini katanya, Bank Negara mendapati kebanyakan daripada mereka mengharapkan bantuan kewangan daripada anak-anak ataupun menggunakan pinjaman sekiranya berlaku kecemasan atau membuat pembelian mahal.

“Kebanyakan keputusan kewangan dipengaruhi sebahagian besarnya oleh sikap dan perangai seseorang.

“Dengan itu, memang menjadi keperluan untuk seseorang itu mengubah sikap mereka dari dalam.

“Memang sukar tetapi bukan mustahil dan apabila dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan, seseorang itu boleh berubah secara positif dan membuat keputusan kewangan yang rasional dan bertanggung jawab,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Modul Pengurusan Kewangan. Persaraan, Bermulanya Perjalanan Baru,” di sini hari ini.

Tambah beliau, meningkatkan tahap celik kewangan adalah sesuatu yang penting ini kerana bagi individu dan isi rumah, celik kewangan menjadi kunci utama kemahiran hidup.

Sesiapa yang berjaya membuat keputusan kewangan yang baik akan berjaya melalui kehidupan yang lebih mapan dan mempunyai gaya hidup yang lebih baik sepanjang hidup termasuk ketika persaraan, katanya.

Celik kewangan juga merupakan elemen penting di dalam meningkatkan displin pasaran dan meningkatkan kestabilan kewangan.

Pengguna yang celik kewangan secara kolektifnya dapat mempengaruhi sikap institusi kewangan untuk menjadi lebih bertanggung jawab, telus dan efisien.

Menurut Abdul Rasheed, perkara ketiga terpenting untuk meningkatkan tahap celik kewangan adalah dengan menyalurkannya kepada peluang-peluang pelaburan produktif.-MalaysiaGazette