Johari Abdul Ghani berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Felda dan Syarikat Perumahan Negara Bhd. di Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat perancangan rapi dan praktikal sebelum melaksanakan projek rumah mampu milik generasi baharu Felda.

Sambil menyatakan komitmen dan sokongan Kementerian Kewangan terhadap projek tersebut, Johari mengingatkan setiap pihak yang terlibat dengan projek berkenaan termasuk agensi pelaksana, Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) meletakkan keutamaan kepada kawasan-kawasan yang lebih memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

“Tanah rancangan Felda ini kita kena tengok juga, ada kawasan yang dah hebat. Setakat rumah mampu milik sebegini, mereka sudah tidak pandang.

“Tetapi ada tanah rancangan Felda yang masih memerlukan campur tangan kerajaan maka Felda dan SPNB kena turun dan tengok kawasan mana yang patut didahulukan di dalam projek ini.

“Lagi satu, kita kena tengok berapa banyak unit yang hendak dibangunkan mengikut permintaan.

“Bila kia nak buat projek ini, kita kena realistik. Jika kawasan tersebut hanya memerlukan 40 hingga 50 unit sahaja, jangan pula kita bangunkan sampai 200 unit semata-mata kerana kita ada peruntukan. Sedangkan kita sudah membazir peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk benda lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara Felda dan SPNB untuk melaksanakan projek rumah mampu milik generasi baharu Felda di sini hari ini.

Menurut Johari, SPNB sebagai agensi pelaksana pula perlu tegas dengan kontraktor-kontraktor yang telah dilantik.

Ini, katanya, bagi mengelakkan projek tersebut tergendala dan seterusnya memburukkan nama kerajaan di mata rakyat terutamanya warga Felda.

“Saya mahu projek ini disiapkan dua atau tiga tahun selepas ianya diumumkan.

“Ini kerana kita memberi harapan kepada orang, tidak boleh ada masalah, tidak boleh terbengkalai.

“Jika ada kontraktor yang dilantik tetapi projek masih tidak berjalan, jangan buang masa, berhentikan sahaja!

“Jangan kita buang masa bergasak dengan mereka sampai projek tertangguh selama lima tahun, buang masa.

“Sebab orang Felda ini, mereka tidak nampak masalah kontraktor. Mereka hanya tahu jika projek ini bermasalah, ini semua salah Felda dan SPNB sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette