Khairul Anuar Baharum (tengah) yang bergari dan berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibawa keluar Mahkamah Majistret Putrajaya setelah diperintah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan suruhanjaya itu. foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2017.

PUTRAJAYA –  Bekas pemain bola sepak kebangsaan,Khairul Anuar Baharum ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan melibatkan kes mengatur perlawanan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dalam saingan Liga Perdana 2017.

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pagi ini.

Siasatan berhubung kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM.

Khairul Anuar, 43, atau Achong tiba di mahkamah dengan tangan bergari dan baju lokap SPRM pukul 9.20 pagi.

Semalam, bekas pemain Selangor dan Negeri Sembilan Khairul Anuar Baharum ditahan selepas hadir di Ibu pejabat SPRM di sini.

Sebelum itu, bekas pemain pertahanan itu menjadi perhatian di media masa apabila dia minta menyerah diri oleh suruhanjaya itu.

Rabu lalu, tiga pemain MIFA­ yang ditahan reman selama tujuh hari sejak 6 April berhubung kes yang sama dan dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret.

Walau bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang merupakan bookie bagi kes tersebut yang ditahan reman pada 7 April lalu disambung reman sehingga 17 April ini.

Siasatan berhubung kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 17 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette