Jokowi memayungi Raja Salman Abdulaziz ketika ketibaan rombongan diraja itu di Istana Presiden di Bogor semasa lawatan Arab Saudi ke Indonesia Mac lalu. foto Jakarta Post

JAKARTA – Presiden Joko Widodo melahirkan rasa kecewa apabila mendapat tahu Arab Saudi melabur sebanyak AS$65 bilion (RM285 bilion) di China, hampir 10 kali ganda daripada 89 trilion rupiah (RM30 bilion) yang dilabur di Indonesia.

“Pelaburan (Saudi) di Indonesia besar tetapi saya terkejut apabila Raja Salman ke China beliau menandatangani kontrak lebih 870 trilion rupiah.

“Saya memayungi Raja Salman tetapi kita dapat jumlah kecil. Saya sedikit kecewa, sedikit sahaja,” kata Jokowi ketika melawat Buntet Pesantren di Cirebon, Jawa Barat pada Khamis lalu.

Jokowi merujuk lawatan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Istana Negara Bogor di Jawa Barat pada 1 Mac lalu.

Ketika ketibaan Raja Salman, hujan lebat dan Jokowi membantu memegang payung untuk pemerintah Arab Saudi itu.

Jakarta Post melaporkan, secara amnya, layanan kepada Raja Salman semasa lawatan itu istimewa.

Jokowi sendiri yang menyambut Raja Salman sebaik tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.

Belum lagi dengan kawalan polis dan askar berkuda – semuanya yang jarang dilihat semasa lawatan oleh mana-mana tetamu negara lain.

Jokowi berjanji akan membuat panggilan telefon kepada Raja Salman dan Putera Mohammad bin Salman Al Saud bagi perbincangan lanjut tentang pelaburan. – MalaysiaGazette