Nadzri Siron

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 12,000 permohonan untuk program MyPrihatin JPJ yang dilancarkan pada tahun ini.

Program MyPrihatin JPJ diwujudkan bagi membantu golongan miskin bandar memiliki lesen memandu percubaan B2 secara sah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, program perintis MyPrihatin JPJ telah dijalankan di Parlimen Titiwangsa, akan diperluaskan di seluruh bandar di seluruh negara.

Beliau berkata, program itu merupakan sumbangan kerajaan kepada golongan B40 yang ada kemahiran menunggang motosikal tetapi tidak mempunyai lesen disebabkan kekangan kewangan.

“Melalui program MyPrihatin JPJ ini kita mahu golongan yang tidak mempunyai lesen sentiasa patuhi peraturan jalan raya.

“Kita tidak mahu lagi ada dalam kalangan mereka ini apabila nampak polis atau JPJ buat pusingan U kerana tindakan mereka itu membahayakan diri sendiri dan pemandu lain,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran MyPrihatin JPJ dan majlis perasmian penutup program MyPrihatin JPJ Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa.

Lantaran itu, melalui program ini golongan yang memenuhi syarat akan kenakan bayaran minimum.

Syarat-syarat untuk menyertai program ini adalah warga Malaysia, berusia 16 tahun ke atas dan tidak pernah memiliki lesen memandu. – MalaysiaGazette