Zuraida
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR –  “Adam Rosly bukan pegawai khas kepada saya”

Itu jelas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sekaligus menafikan kenyataan yang dibuat oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sebelum ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Ketua Angkatan Muda PKR yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu lalu itu juga tidak pernah menjadi pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Penafian Zuraida dalam sebuah portal hari ini mengundang persoalan apabila Armand Azha mendakwa Adam merupakan pegawai khasnya dan juga menjadi orang perantara yang menerima komisen bagi projek-projek di negeri itu yang membabitkan beliau dan Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, Zuraida menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam membantu siasatan terhadap Adam oleh SPRM.

“Tak jadi masalah, malah kita menyambut baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya jika ada sebarang perkara yang perlu disiasat.

“Bagaimanapun, kita harapkan siasatan akan dijalankan dengan adil dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan politik dan sebagainya,” katanya.

Adam sebelum ini ditahan oleh SPRM pada 13 April lalu bagi membantu siasatan berhubung kekayaannya yang disifatkan luar biasa.

Kekayaannya mendapat perhatian tahun lalu kerana memiliki banglo berbentuk istana di Ampang pada usia muda.

Adam bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan memaklumkan kekayaan itu termasuk RM1 juta untuk membeli kediaman mewah itu diperolehi hasil perniagaan yang diceburinya selain mewarisi daripada keluarganya.

Beliau juga memperoleh gelaran Datuk yang dikurniakan Pahang kerana sumbangannya kepada beberapa projek di negeri berkenaan. – Malaysia Gazette