PULAU PINANG – Seorang Datuk Seri dan anaknya yang bergelar Datuk yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 pagi ini.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Tertinggi Mahkamah Sesyen negeri, Ahmad Tajudin Md. Zin terhadap kedua-dua beranak berkenaan dengan dua penjamin setiap seorang.

Mereka dibebaskan di sebuah hospital swasta di sini kira-kira pukul 10.45 pagi selepas Datuk Seri berusia 74 tahun itu perlu mendapatkan rawatan akibat tekanan darah tinggi.

Anaknya pula yang berusia 47 tahun turut dibebaskan di hospital sama selepas menemani bapanya dengan diiringi pegawai SPRM negeri.

Rabu lalu, mereka direman Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan anak syarikat Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

Terdahulu, Datuk Seri dan anaknya yang masing-masing merupakan pengerusi serta pengarah sebuah syarikat pemaju terkemuka yang disenarai di Bursa Malaysia ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

 

Syarikat pemaju hartanah milik mereka yang berpangkalan di Georgetown di sini membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau Pinang termasuk di Kepala Batas dan Tanjung Bungah.

Skandal tanah yang melibatkan pelupusan hartanah ratusan ekar itu rentetan hasil siasatan ke atas seorang Datuk berusia 70 tahun yang ditahan SPRM pada 29 Mac lalu juga membabitkan tersebut.

Menurut sumber SPRM, Datuk berusia 70 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Katanya, suspek dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan berkenaan di negeri ini termasuk membuat keputusan sendiri tanpa melalui persetujuan Ahli Lembaga Pengarah lain.

Bagaimanapun, Datuk berkenaan yang direman selama lima hari dibebaskan pada 3 April lalu dengan jaminan RM100,000 menerusi dua penjamin. – MalaysiaGazette