Husam Musa

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa memberi tempoh tujuh hari kepada blogger Datuk Zahari Mohd Yasin untuk memohon maaf berhubung tuduhan Husam menerima wang dari Genting untuk Pas.

Katanya, jika blogger itu gagal berbuat demikian dalam tempoh diberikan, beliau melalui peguamnya, Tetuan Faiz Fadzir akan memfailkan saman atas dakwaan fitnah.

“Zaharin perlu kemukakan permohonan maaf melalui akhbar arus perdana dan laman sosial Facebook beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini.

“Kalau tidak, beliau perlu kemukakan bukti berhubung tuduhan itu di mahkamah,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di sini, hari ini.

Zaharin melalui Facebooknya bertarikh 10 April lalu antara lain memuatkan status berbunyi: “Sebenarnya kes Pas tuduh Husam Musa terima duit dari Genting itu. Saya nak bagi tahu.. itu cerita betul dan benar. Hanya yang tidak benar dan betul ialah Husam Musa tidak terima untuk dirinya, tetapi untuk Pas dan duit itu telah dijelaskan bukan dari hasil judi, sebalik dari lain perniagaan yang bukan haram.

Beliau turut menulis: “Perlu diingat bahawa mendiang Lim Goh Tong terhutang budi dengan kerajaan Pas Kelantan yang memberikan projek termasuk pembinaan Jambatan Kota Bharu, dan dianugerah ‘Dato’ oleh Sultan Kelantan. Buat kerja rumah dulu sebelum tuduh,” ujarnya.

Berikutan itu, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Bahkan, katanya, beliau tidak pernah kenal mendiang Goh Tong atau mengenali Genting sepanjang hayatnya.

Husam mendakwa, Zaharin bekas ahli UMNO itu sengaja hendak menjatuhnya dengan tuduhan melulu berkaitan rasuah. – MalaysiaGazette