Husam Musa

KUALA LUMPUR – Dua perkara Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa tidak akan lakukan.

Pertama, tidak ada cadangan baginya untuk mengemukakan saman ke atas blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang mula-mula sekali mendedahkan beliau terlibat dengan penerimaan wang daripada Genting.

Kedua, Husam tidak akan melakukan akuan bersumpah bagi menafikan tuduhan itu, yang turut dibangkitkan blogger Datuk Zaharin Mohd Yasin melalui akaun Facebooknya pada 10 April lalu.

Dalam sidang medianya di Wisma Amanah Negara di sini, hari ini, Husam menyatakan, beliau hanya akan memfailkan saman ke atas RPK sekiranya blogger itu balik ke Malaysia dan bebas dari kedudukan bankrupsi.

“RPK pun saya akan buat sedemikian (saman) jika beliau balik ke Malaysia dan beliau bebas dari kedudukan bankrupsi. Kalau dia bangkrup dan berada di luar negara adalah sia-sia untuk saya memfailkan saman.

“Cukuplah saya memfailkan saman ke atas Zaharin sebahagi bukti tuduhan yang dia viralkan melalui Facebook itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Bagaimanapun, Husam dengan nada lembut berkata, jika Zaharin tarik balik kenyataan itu, beliau bersedia untuk menyelesaikannya secara politik.

“Tetapi, kalau Zaharin kata dia ada bukti, dia boleh bawa ke mahkamah dan kedua-dua pihak (termasuknya) akan dapat penyelesaian politik secara lebih meyakinkan.

“Kalau dalam perjalanan proses itu dia rasa tak ada bukti, dia nak tarik balik, saya terbuka,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan membuat akuan bersumpah bagi membukti tidak terlibat dengan penerimaan wang dari Genting, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, ini kes kecil.

“Saya rasa (kes ini) kecil sangat nak bersumpah dalam perkara macam ini. Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan) lain sedikit kedudukannya (buat akuan bersumpah dakwa seorang bekas pemimpin Pas terima wang dari 1Malaysian Development Berhad-1MDB).

“Dia (Rafizi buat akuan bersumpah kerana) yang mendakwa, saya dalam keadaan menafikan. Kalau proses mahkamah sudah cukup, saya rasa akuan bersumpah macam bermain-main pula dalam konteks saya, bukan dalam konteks Rafizi,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Husam berkata, beliau tidak pernah menerima duit satu sen pun daripada Genting, sama ada untuk dirinya ataupun untuk Pas.

Katanya, walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan, bila sesuatu (tuduhan) dikemukakan, mesti ada empat saksi, tetapi fitnah ke atasnya yang diviralkan melalui Facebook tidak mengemukakan walau seorang saksi pun.

“Ini adalah satu tindakan ‘double standard’ yang diamalkan dan saya memberikan notis (saman) ini kepada Zaharin supaya dia dapat menarik balik tulisannya dan sekiranya beliau tidak menarik balik tulisannya, saya akan failkan saman ke atasnya.

Menjawab soalan wartawan adakah tuduhan Rafizi sama kes beliau ini, Husam menjelaskan, beliau tidak tahu kerana belum berjumpa dengan Naib Presiden PKR itu.

Katanya, beliau tidak berjumpa atau berkomunikasi dengan Rafizi secara peribadi atas isu berkenaan.

“Saya tidak tahu apakah yang Rafizi bangkitkan terhadap bekas pemimpin Pas itu juga melalui transaksi Affin Bank atau berbeza dengan, saya tidak pasti. Saya kena jumpa Rafizi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette