resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melakukan audit ke atas 30 buah syarikat korporat besar dan mengenal pasti pengelakan cukai berserta kompaun yang memcecah RM1.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, audit ke atas kira-kira 11 korporat telah selesai dilakukan dan mengenal pasti elak cukai yang mencecah RM500 juta dan jika ditambahkan dengan kompaun pada kadar 45 peratus, jumlah tersebut adalah RM900 juta.

Selain itu, kira-kira 20 buah syarikat tempatan dan asing sedang menerima audit peringkat akhir.

Katanya, kebanyakan syarikat-syarikat itu adalah dari Malaysia dengan hanya satu atau dua buah merupakan syarikat multinasional.

Menurutnya, 20 buah syarikat itu melakukan penyusunan semula untuk mendapat pengecualian cukai.

“Penyusunan semula ini hanya atas kertas sahaja, majoritinya tidak membabitkan usaha yang praktikal.

“Mereka mengatur percukaian syarikat secara proaktf dan di bawah syarikat biasanya mempunyai anak syarikat, syarikat usahasama yang beroperasi di Singapura, Labuan dan negara pelabuhan lain yang mengenakan kadar cukai rendah,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Sabin turut mengingatkan perunding percukaian supaya tidak memberi bimbingan yang salah kepada syarikat atau berdepan risiko dipenjarakan.

Katanya, LHDN juga boleh menarik balik lesen untuk perunding-perunding percukaian tersebut.

“Kami sedang menyiasat enam syarikat atau ejen percukaian yang terlibat dalam kegiatan elak cukai.

“Syarikat percukaian berkenaan membantu korporat mewujudkan kerangka elak cukai dan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dalam kutipan cukai,” katanya.

Hukuman penjara sehingga tiga tahun dan kompaun RM20,000 boleh dikenakan jika perunding percukaian berkenaan disabit kesalahan. – MalaysiaGazette