Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.
Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ‘sistem pendidikan negara cacamarba – perlu dikaji semua’ sebagai berani.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh, pertubuhan Melayu itu menyokong pendirian, huraian dan penjelasan Ahmad Zahid bahawa kecelaruan sistem yang diamalkan tidak membawa kepada titik pertemuan antara kaum di negara ini.

Dalam keadaan ini, kata beliau, bagaimanakah akan wujud perpaduan kaum, perkara penting dalam menentukan kelangsungan negara yang aman makmur ini.

“Perkasa telah lama membuat teguran ini kerana kita yakin sistem vernakular akan hanya menebalkan semangat perkauman, khususnya di kalangan kaum Cina dan India.

“Tidak terdapat bukti nyata menunjukkan sistem pendidikan yang membolehkan sekolah aliran kaum berjalan selari bersama sistem kebangsaan yang berasingan, sebaliknya hanya akan merosakkan usaha pembinaan bangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sirajuddin berkata, Perkasa memandang serius soal perpaduan nasional dan pembinaan bangsa.

Justeru, katanya, pertubuhan itu mahu semua pemimpin kaum, masyarakat, politik, agama dan seluruh rakyat negara ini faham serta sedar tidak ada faktor lebih penting dari keamanan dan kestabilan nasional.

“Apa gunanya kekayaan dan harta berbilion ringgit jika berlaku pergaduhan dan pembunuhan kaum di sana sini? Lihatlah apa yang berlaku di negara yang berperang, bergolak, bergaduh dan berbunuh sesama sendiri.

“Apakah kita semua buta mata dan buta hati untuk melihat kepada apa yang berlaku tidak jauh dari negara kita. Apakah ianya tidak mungkin berlaku di bumi kita?

“Jawapan dan persediaan kepada perkara yang mustahak ini adalah sistem pendidikan dan persekolahan satu aliran kebangsaan yang sama untuk generasi muda rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, biarlah anak Malaysia dari pelbagai latarbelakang bergaul dan berkawan, di samping mengenali budaya, agama dan sensitiviti masing-masing sejak tadika selama kira-kira 15 tahun.

Inilah, ujar beliau, tempoh masa yang amat berkesan untuk pembinaan generasi Malaysia yang bersatu padu untuk hidup rukun damai di bumi tercinta ini. – MalaysiaGazette