Liang Teck Meng

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan (Gerakan) akan mengambil tindakan balas undang-undang terhadap Lim Guan Eng berhubung notis saman yang dikeluarkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Dalam satu sidang media hari ini, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng memberitahu, perkara tersebut dilakukan ekoran notis saman yang dikeluarkan oleh Guan Eng kepada beberapa akhbar termasuk beliau yang juga menjadi responden ketiga dalam notis tersebut.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk membalas Lim Guan Eng dengan menyatakan bahawa saya tetap dengan apa yang saya katakan dalam sidang akhbar (terdahulu) saya kerana berdasarkan fakta,” katanya.

Menurut Teck Meng, Guan Eng sebelum itu gagal menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakannya berkenaan prestasi ekonomi negeri bawah pentadbiran DAP termasuk kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh tahun 2008 hingga tahun 2015.

Selain mempersoalkan prestasi ekonomi Pulau Pinang, Teck Meng turut mendedahkan salah laku yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu lebihan hasil daripada penjualan tanah dan aset negeri.

Ekoran pendedahan yang berdasarkan laporan Ketua Audit Negara itu, Guan Eng tidak memberikan sebarang kenyataan balas sebaliknya mengeluarkan surat tuntutan kepada pihak media yang melaporkan pendedahan tersebut sebagai responden pertama dan kedua manakala Teck Meng sebagai responden ketiga.

Justeru, bagi menyokong hak kebebasan media, Gerakan tampil menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada syarikat akhbar yang terlibat dalam notis-notis tuntutan yang dikeluarkan oleh pihak Guan Eng.

“Gerakan menawarkan panel peguam untuk membantu mana-mana organisasi media yang telah menjadi mangsa ugutan undang-undang DAP.

“Sejak beberapa tahun yang lalu, DAP sering kali menggunakan cara mengugut media dengan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Guan Eng dan Penang Institute sepatutnya menjawab dakwaan kenyataan akhir saya kepada beliau dan bukannya mengambil jalan keluar dengan ancaman undang-undang,” tambah Teck Meng lagi.- MalaysiaGazette