KUALA LUMPUR – Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kenyataannya yang mendakwa pemilik restoran India Muslim menaikkan harga makanan dan minuman, susulan penarikan subsidi gula serta tepung.

Laporan dibuat oleh Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), ,MIM, PELlTA, PREMUS, PEBAKTIM, GEGAS, ARC, REFORMIS, KIPIDAP dan MAM’S di Balai Polis Dang Wangi di sini, semalam.

Pengerusi IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, kenyataan itu diucapkan dua kali oleh Tengku Adnan dalam dua majlis berbeza yang dianggap memalukan dan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang menteri Kabinet.

“Kenyataan seorang menteri terhadap pemilik restoran mamak adalah tidak beradap dan amat mengecewakan masyarakat India Muslim di negara ini.

“Seorang menteri sepatutnya meneliti keperluan rakyat dalam majlis itu dan bukannya membangkit isu teh tarik dan roti canai serta kenaikan harga makanan itu adalah haram,” katanya kepada pihak media selepas membuat laporan polis itu.

Sabtu lalu, Tengku Adnan dilaporkan mengeluar kenyataan hendak membaling cawan ke muka pemilik restoran India Muslim kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik restoran itu menaikkan harga teh tarik dan roti canai, ketika Ahli Parlimen Putrajaya itu mewakili Perdana Menteri berucap pada Perhimpunan Agung Kimma ke-40, Sabtu lalu dan mengulangi kenyataan pada Sambutan Tahun Baharu Tamil.

Kenyataan itu mendapat kritikan gabungan NGO terdiri daripada Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin), Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) serta Liga Muslim Pulau Pinang.

Mereka terkilan dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu yang juga dikenali sebagai Ku Nan dengan menyifatkan ia tidak berasas dan tidak masuk akal, selain menyakitkan hati masyarakat India Muslim serta tidak membantu memupuk perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Membaling cawan membawa impak negatif kepada masyarakat India Muslim secara amnya.

“Apakah ini budi bahasa yang kita pelajari sejak kecil lagi? Lebih malang lagi, kenyataan sebegini dikeluarkan seorang yang bergelar YB Menteri,” kata NGO dalam kenyataan hari ini.

Gabungan NGO itu berkata, sebagai seorang menteri, Tengku Adnan sepatutnya menjadi teladan kepada masyarakat, bukannya berjenaka dan beremosi ketika berucap mewakili Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette