Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbangkan untuk membenarkan penggunaan alat peranti oleh para pelajar di sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, alat peranti itu boleh digunakan sebagai alat bantuan mengajar dan pembelajaran untuk guru dan pelajar.

Menurut beliau, KPM akan membuat kajian terperinci mengenai pelaksanaan itu dan hasilnya akan dimaklumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

“Mungkin kita akan membenarkan penggunaan alat peranti berdasarkan had masa atau subjek tertentu.

“Penggunaan dengan had ini telah dilakukan di negara-negara seperti Jepun dan Korea.

“Kita akan kaji perkara ini terlebih dahulu termasuk alat peranti yang akan dibenar digunakan nanti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan 70 siri buku sukan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di sini hari ini.

Dalam merealisasikannya, Mahadzir berkata, KPM telah meminta penyedia Bestari Net memastikan sekolah-sekolah di luar bandar menikmati kelajuan internet sekurang-kurangnya 6 megabait sesaat.

Manakala sekolah-sekolah di bandar 15 hingga 20 Megabait sesaat.

Terdahulu, Mahadzir berkata, buku-buku siri sukan terbitan ITBM itu akan diagih-agihkan di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Katanya, edaran itu akan menggalakkan para pelajar membaca bahan-bahan bacaan yang secocok dengan minat sukan masing-masing. – MalaysiaGazette