KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima sebanyak 1,639 aduan terhadap syarikat-syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang sepanjang 12 bulan antara Mac tahun lepas sehingga Februari ini.

Perkara itu didedahkan dalam Laporan Pengguna Pertama oleh Mavcom hasil data yang direkod oleh Sistem Pengurusan Aduan MAVCOM (CMS).

Daripada jumlah itu, Mavcom berjaya mengurus, menyelesai dan menutup sebanyak 95 peratus aduan.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, jumlah aduan tertinggi diterima berhubung Rayani Air sebanyak 737 aduan (44.9%), diikuti AirAsia 323 aduan (19.7%) dan Malaysia Airlines 274 (16.8%).

Manakala Malindo Air 10.2, AirAsia X 4.1 peratus, syarikat penerbangan asing 2.8 peratus, Firefly 0.8 peratus dan MasWings 0.3 peratus.

Aduan mengenai pengendali lapangan terbang itu melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 0.3 peratus dan lapangan-lapangan terbang lain 0.1 peratus.

Aduan terbesar yang diterima berhubung pembayaran balik yang wakili 55 peratuan, diikuti pengendalian bagasi 10 peratus dan pembatalan penerbangan 9 peratus dan penangguhan penerbangan 7 peratus.

Abdullah berkata, sebanyak tujuh aduan mengenai lapangan terbang diterima sepanjang tempoh itu membabitkan KLIA, klia2, Alor Setar dan Kota Bharu yang melibatkan isu pengendalian, perkhidmatan pelanggan dan kemudahan di lapangan-lapangan terbang.

Tambah beliau, laporan tersebut merangkumi keputusan perlaksaan CMS yang direka untuk memberi kuasa kepada pengguna seterusnya menyediakan sebuah platform
yang nyata untuk melaksanakan hak-hak mereka sebagai pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Ini juga merupakan tumpuan MAVCOM sebagai pengawal selia bebas serta jaguh hak-hak pengguna. – MalaysiaGazette