Mangsa penipuan Skim Venus FX, H. Sri Kumar (tengah) bercakap pada sidang media mangsa Skim Venus FX di lobi Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 mangsa kes skim pelaburan mata wang asing (Forex) kendalian VenusFX meminta peguam P. Uthaya Kumar tidak mengganggu siasatan kes itu.

Uthaya Kumar mewakili Vishnu Moorthy yang merupakan salah seorang daripada enam suspek dalam kes tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Jawatankuasa Bertindak Pemulihan (Rate), N.Geevaraj berkata, kesemua mangsa skim pelaburan itu kecewa dengan tindakan Uthaya Kumar yang membela Vishnu Moorthy yang kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Kami mewakili mangsa penipuan VenusFX terharu dan gembira dengan kejayaan polis menahan suspek penipuan pelaburan skim ini.

“Kami juga bersimpati dengan tekanan yang dialami A. Mageswarie (isteri Vishnu Moorthy) yang sarat mengandung akibat penahanan suaminya.

“Tetapi dia perlu ingat bahawa dia dan suaminya yang merupakan antara dalang dalam skim pelaburan yang menipu ribuan mangsa dan drama Mageswarie di mahkamah perlu melihat trauma dan tekanan puluhan ribu mangsa pelaburan juga.

“Adalah tidak wajar pihak dia (Maheswarie dan Vishnu Moorthy) bersama Uthaya Kumar mengganggu dan membuat kecoh dalam siasatan kes penipuan ini dengan mempersoalkan penahanan suspek-suspek di bawah POCA,” katanya di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Geevaraj menyifatkan tindakan Uthaya Kumar yang membela Vishnu Moorthy sebagai menganggu siasatan polis dan tiada belas kasihan terhadap mangsa penipuan skim itu yang pernah direkrut oleh beliau.

“Pelabur di bawah Vishnu Moorthy diancam rogol oleh pihak yang direkrut pelabur kerana tidak mendapat pulangan untuk wang yang dilabur dalam Vinus FX,” tegasnya.

Dua lagi mangsa, H. Sri Kumar dan Dr. P. Sivananthan berkata, pihaknya telah melantik peguam dan membuat laporan polis untuk menghadapi kes itu dan mendapat semula wang yang telah dilaburkan dalam skim itu.

 

Mangsa penipuan Skim Venus FX, H. Sri Kumar bercakap pada sidang media mangsa Skim Venus FX di lobi Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 APRIL 2017
Mangsa penipuan Skim Venus FX, H. Sri Kumar bercakap pada sidang media mangsa Skim Venus FX di lobi Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 APRIL 2017

“Kami cuma menyeru Uthayakumar supaya melihat situasi menyedihkan para pelabur yang antaranya kehilangan simpanan bernilai ratusan ribu ringgit untuk pelaburan ini.

“Harap beliau berperikemanusiaan dan tidak mengganggu kes yang disiasat polis dengan memfailkan macam-macam permohonan di mahkamah.

“Biar polis siasat mereka yang ditahan itu dan heret ke muka pengadilan untuk hukuman setimpal, mereka yang tidak berkenaan tak perlu ganggu.

“Setakat ini kami gembira dengan siasatan polis dan kami juga menyerahkan segala bukti dalam bentuk dokumen kepada polis bagi membantu kes,” ujarnya.

 

Mageswarie hari ini memohon habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan Vishnu Moorthy dibebaskan daripada tahanan.

Vishnu Moorthy ditahan di bawah POCA pada 29 Mac lalu kerana penglibatan beliau dalam VenusFX, yang mengendalikan skim pelaburan pertukaran wang asing yang didakwa telah memperdayakan lebih 23,000 pelabur melibatkan kerugian lebih RM80 juta.

Mengikut permohonan habeas corpus yang dikemukakan Mageswarie, Vishnu Moorthy bekerja di syarikat itu lebih setahun dan beliau ‘hanya jurujual’ tanpa mempunyai peranan membuat keputusan.

Permohonan habeas corpus itu bagaimanapun ditolak selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Sharif Abu Samah membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Al Saufi.

Pada 29 Mac lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang mdia mengumumkan penahanan enam suspek sindiket penipuan yang berusia antara 28 hingga 38 tahun itu, termasuk seorang wanita, dilakukan dalam operasi Nuri.

Kesemua tahanan direman selama 21 hari. – MalaysiaGazette