Sohaimi Shahadan
KUALA LUMPUR – Niatnya berkhidmat untuk parti dan tidak timbul soal mahu jadi calon bertanding pilihan raya umum seperti dakwaan pihak tertentu.

Itu tegas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.

Menurutnya, sebagai pemimpin, tanggungjawab dan amanahnya adalah untuk parti dengan memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya termasuk memahami dasar dan perjuangan UMNO.

“Saya diamanahkan untuk bekerja kepada parti. Setiap program yang saya hadir adalah berkaitan dengan parti, termasuk mendekati rakyat mahu pun bersama dengan kepimpinan UMNO.

“Mungkin pihak tertentu melihat saya hadir pada satu dua majlis di Selayang, maka mengatakan saya mahu bertanding di situ. Saya hadir ke semua tempat di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) Program Memperkasakan Graduan Financial Enterpreneur di pejabat Perdanasama Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas khabar angin mendakwa Sohaimi semakin kerap turun padang di kawasan berkenaan kerana telah dijanjikan oleh pucuk pimpinan bakal menjadi calon Barisan Nasional Parlimen Selayang pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Sohaimi menegaskan, beliau hanya membuat kerja seperti diarah oleh pucuk pimpinan selain berkhidmat atas platformbadan bukan kerajaan.

“Soal jadi calon atau tidak ia ditentukan oleh pucuk pimpinan. Siapa yang jadi calon, kita akan sokong sepenuhnya.
“Seperti mana saya tegaskan, saya berkhidmat dan bekerja atas kapasiti saya selaku ahli MT UMNO. Soal calon PRU-14 itu keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya. – MalaysiaGazette