Para pendidik mengadu mengenai sistem pembelajaran alam maya, Frog VLE yang dilihat sebagai membebankan dan tidak praktikal untuk pelajar tertentu.

KUALA LUMPUR – Para pendidik mengadu mengenai sistem pembelajaran alam maya, Frog VLE yang dilihat sebagai membebankan dan tidak praktikal untuk pelajar tertentu.

Selain keadaan sistem yang tidak stabil dan operasi yang rumit, kesukaran untuk akses kepada Internet juga merupakan satu isu untuk murid dan guru walaupun Frog VLE telah diperkenalkan selama lima tahun.

“Sesetengah murid tidak mempunyai komputer di rumah apatah lagi Internet. Isu-isu realiti menyebabkan sekolah gagal mencatat kadar penggunaan Frog VLE yang memuaskan.

“Selain itu, murid juga tidak semestinya akan menyempurnakan kerja yang diberikan melalui Frog VLE,” kata seorang guru kepada China Press.

Kata seorang lagi guru, Kementerian Pendidikan menetapkan petunjuk prestasi yang berlainan mengikut sekolah di mana mereka perlu mencapai kadar penggunaan Frog VLE yang ditetapkan.

“Selama ini, cikgu akan memasuki Frog VLE dan membuka tab baharu untuk tujuan lain.

“Cikgu hanya mahu mencapai kadar penggunaan yang ditetapkan bagi memenuhi syarat,” kata cikgu dari Negeri Sembilan tersebut.

Cikgu dari Johor pula berkata, walaupun matlamat Frog VLE ialah membolehkan murid menyelesaikan kerja rumah dan penilaian melalui Internet, tetapi apa yang berlaku telah membebankan guru. – MalaysiaGazette